Tuesday, November 1, 2011

THAKSIN TOLAK BAHASA MELAYU DI SELATAN THAILAND

Thaksin tolak Melayu bahasa rasmi selatan Thai
BANGKOK 26 Jun - Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hari ini menolak cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua di tiga wilayah selatan bersempadan dengan Malaysia.
 
Hanya bahasa Thai menjadi bahasa rasmi. Bagaimanapun rakyat tempatan boleh menggunakan bahasa lain untuk berkomunikasi,” kata beliau.

Ia merupakan komen pertama Thaksin selepas Suruhanjaya Perdamaian Kebangsaan (NRC) mencadangkan kepada kerajaan awal bulan ini supaya menghentikan tindakan ketenteraan dan memberi tumpuan kepada masalah di peringkat akar umbi yang mencetuskan konflik.

Reaksi negatif beliau terhadap cadangan itu dibuat sehari selepas bekas Perdana Menteri dan Presiden Majlis Privy, Jeneral Prem Tinsulanonda menolak cadangan tersebut yang dibuat NRC, yang diketuai oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Anand Panyarachun.

Penduduk di tiga wilayah selatan yang sebahagian besarnya beragama Islam telah lama mengadu menjadi mangsa diskriminasi sama ada dalam pekerjaan atau pelajaran.

Laporan suruhanjaya itu juga mencadangkan supaya kerajaan mengadakan dialog dengan pejuang pemisah, menambah penyertaan wakil dari selatan bagi menyelesaikan konflik dan memastikan pengagihan sumber negara yang adil.

Suruhanjaya itu juga mencadangkan kerajaan menggunakan Yawi, dialek bahasa Melayu yang digunakan secara meluas di selatan sebagai bahasa “bekerja” bagi memudahkan mereka berkomunikasi.

NRC dilantik pada Februari 2005 oleh kerajaan bagi mencari jalan untuk menamatkan keganasan yang berlaku setiap hari di wilayah itu sejak serbuan ke atas sebuah gudang senjata di Narathiwat pada Januari 2004.

Lebih 1,200 orang terbunuh di Yala, Pattani dan Narathiwat sejak serbuan itu dua tahun lalu, termasuk anggota tentera, polis, guru dan orang awam.

No comments:

Post a Comment