Tuesday, November 1, 2011

SEJARAH PATTANI.


Semenjak Pemerintahan Beraja Melayu dihapuskan pada tahun 1902, orang
Melayu Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap
oleh W.A.R. Wood, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah
pemerintahan yang 'misgoverned'. Justeru, tidaklah hairan apabila kekacauan
seringkali berlaku di wilayah selatan antara tahun 1910 hingga 1923. Dalam
masa pemerintahan Pibul Songgram (1939-44), orang Melayu telah menjadi
mangsa dasar asimilasi kebudayaan atau dasar Rathaniyam.
Tindakan Pibul Songgram memihak kepada Jepun dalam Perang Dunia
Kedua telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk
membetulkan ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka oleh Perjanjian
Bangkok (1909). Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pegawai berpangkat
Major dalam pasukan Force 136, pernah mengemukakan rayuan kepada pihak
berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya
serta digabungan dengan Tanah Melayu. Harapan mereka bertambah cerah
apabila kuasa-kuasa besar dalam persidangan di San Francisco pada bulan
April 1945 telah berjanji akan membantu untuk membebaskan mana-mana
negeri yang terjajah berasaskan prinsip hak menentukan nasib sendiri (selfdetermination)
Pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin
oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah
mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah
di Selatan Siam dibebaskan daripada ‘penjajahan’ Siam.
Pendirian British terhadap Siam bagaimanapun berubah apabila Peperangan
Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia
Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan
dasarnya terhadap Siam atau pun Patani. Kerajaan British juga memerlukan
kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah
jajahannya. Tidak kurang pentingnya kerajaan British terpaksa menyesuaikan
dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu
mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.
Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara selepas perang juga menjadi
faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British
menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis
Cina. Justeru, Kerajaan British mahu pastikan Siam terus stabil dan memihak
kepada Barat dalam persaingan dengan negara-negara Komunis. Kebangkitan
Komunis di Semenanjung Tanah Melayu pada bulan Jun 1948 memerlukan
Pengenalan: Pengajian Strategi Dan Hubungan Antarabangsa / 13
British mempertingkatkan lagi kerjasama dengan Siam bagi menghapuskan
kegiatan pengganas-pengganas Komunis di perbatasan Siam-Tanah Melayu.
Oleh kerana itu Isu Patani dianggap sebagai penghalang ke arah kerjasama
sempadan yang berkesan untuk British dengan Siam. Selepas persidangan
Songkhla pada awal bulan Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu
mula mengambil tindakan ke atas kegiatan GEMPAR di Semananjung Tanah
Melayu. Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pemimpin utama Melayu Patani,
telah ditekan oleh pihak berkuasa British di Tanah Melayu manakala Tuan Guru
Haji Sulung telah ditangkap oleh pihak berkuasa Siam atas tuduhan subversif.
GEMPAR, sebuah pertubuhan politik masyarakat Melayu Patani di Semenanjung
juga telah disekar aktivitinya. Akibat daripada tekanan tersebut, gerakan
Melayu Patani mula lemah dan goyah.
Sungguhpun begitu, perjuangan Tengku Mahmood Mahyideen dan Tuan
Guru Haji Sulung telah diteruskan generasi muda Patani. Dalam tahun 1960-an,
beberapa pertubuhan pembebasan telah ditubuhkan bagi memperjuangkan
kemerdekaan Patani melalui perjuangan bersenjata. Perjuangan itu bagaimanapun
masih belum menempa sebarang kejayaan.
BAB 1
Kerajaan Melayu Patani
Sejarah awal Kerajaan Melayu Patani masih lagi diselimuti kekaburan.
Dalam catatan sejarah tidak dapat dipastikan asal-usul atau tarikh sebenar
kerajaan Melayu Patani didirikan. Mengikut catatan pelawat-pelawat China
yang membuat perhubungan dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad
kedua Masehi sebuah negeri bernama “Lang-ya-shiu” atau Langkasuka (Paul
Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu. Berpandukan catatan
tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang
terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora
(Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Adalah dipercayai
bahawa ibu negerinya pada masa itu terletak di sekitar daerah Yarang. Patani
adalah sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan
sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun ke-8 Masehi kerana Teluk
Langkasuka (Teluk Patani sekarang) sangat sesuai dijadikan tempat kapalkapal
dagang berlabuh dan berlindung daripada ribut tengkujuh. Paul Wheatly
menjelaskan bahawa kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan
timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan
Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu Langkasuka
wujud sehingga menjelang abad ketiga belas dan diganti oleh Kerajaan
Melayu Patani.
Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum
dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan
sejarah yang jelas mengenainya. A.Teeuw dan Wyatt berpendapat bahawa
Patani telah ditubuhkan sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15. Pendapat
mereka berasaskan kepada tulisan Tomes Pires dan lawatan Laksamana
Cheng Ho ke rantau ini dalam tahun 1404-1433 T.M. (Teeuw & Wyatt
1970,3). Mengikut Hikayat Patani pula, Kerajaan Melayu Patani berasal dari
kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai yang diperintah oleh Phya
Tu Kerab Mahayana (Teeuw & Wyatt 1970,68). Oleh kerana kedudukan Kota
Mahligai itu terlalu jauh ke pedalaman dan sukar untuk didatangi oleh
pedagang-pedagang telah menyebabkan Phya Tu Antara, anak Phya Tu
Kerab Mahayana, memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah perkampungan
nelayan yang kemudiannya diberi nama “Patani”, dipercayai berpusat di
Kampong Grisek dalam wilayah Patani sekarang ini.

No comments:

Post a Comment