Wednesday, November 2, 2011

KOMUNITI SIAM SEJARAH HITAM

Sejarah Hitam Siam Kedah - Kelantan

Sejarah perhubungan antara Siam Kedah dan Siam Kelantan telah lama terjalin tetapi keakrabannya hanya berlaku dalam beberapa dasawarsa sahaja. Namun keakraban tersebut semacam menjadi renggang ekoran beberapa isu; isu lama dan isu baru.

Sewaktu kecil aku sering kedengaran orang Kelantan pergi mengambil upah membanting padi di Kedah. Maklumlah Kedah sebuah negeri jelapang padi. Orang-orang kampung aku juga tidak ketinggalan. Bila pulang mereka bercerita tentang Kedah; bukan tentang orangnya tetapi tentang ikan di sawah. Oleh itu, aku lebih kenal ikan "sepat Kedah" daripada "orang Kedah".

Sebenarnya aku mula kenal orang Siam Kedah ketika aku belum masuk sekolah. Seorang mata-mata gelap keturunan Siam Kedah yang bertugas di Kelantan. Dia datang ke Kelantan pada akhir tahun 60-an atau awal tahun 70-an aku tak berapa pasti. Orang panggil dia "gelap Deng". Dia tinggal di rumah aku kerana dia kawan bapa aku. Dia pergi kerja awal pagi ketika aku belum bangun dan pulang pada waktu malam. Apabila terlihat lampu motosikal menyuluh ke bawah rumah, aku tahu bahawa itu adalah motosikal Vespa Pak Cik Deng kerana waktu itu hanya dia yang ada motosikal di kampung aku. Dia juga selalu membawa kawan-kawan polisnya daripada keturunan Siam Kedah ke rumah aku. Itulah sejarah awal perhubungan keluarga aku dengan orang Siam Kedah.

Sayangnya perhubungan itu terputus begitu sahaja selepas mereka berpindah balik ke Kedah. Walaupun mereka ada mengirimkan khabar dan mempelawa keluarga aku datang ke kampung mereka di Kedah tetapi pelawaan mereka tak pernah tertunai. Maklumlah waktu itu perjalanan dari Kelantan ke Kedah tidak semudah sekarang. Bapa aku sudah meninggal. Barangkali Pak Cik Deng juga sudah meninggal. Namun, nostalgia tiba-tiba mengusik perasaan - betapa bermaknanya jika hubungan tersebut tidak putus!

Kenapa aku bangkitkan perhubungan keluarga aku dengan keluarga Siam Kedah yang terjalin pada akhir tahun 60-an atau awal tahun 70-an itu? Tidak ada apa yang penting, kecuali aku hendak beritahu bahawa perhubungan antara Siam Kedah - Kelantan sudah bermula sejak sekian lama tetapi malangnya sehingga kini masih belum ada "formula" yang menjanjikan keikhlasan dalam perhubungan tersebut.

Sejarah Wat Thai Chetawan, Petaling Jaya meninggalkan kenangan pahit di dalam perhubungan phra Thai Kedah dan phra Thai Kelantan. Sesiapa yang tahu sejarah tersebut pasti faham apa yang aku maksudkan. (Aku akan ceritakan tentang krisis ini lain kali). Dalam "perjanjian damai" ada disebutkan bahawa sekiranya phra Kedah jadi Ketua Sami, phra Kelantan adalah Timbalannya. Sekiranya phra Kelantan jadi Ketua Sami, phra Kedah Timbalannya. Tetapi hakikatnya phra Kelantan tidak pernah "diberikan peluang" untuk tinggal di Wat Thai Chetawan selepas krisis tersebut. Keadaan ini turut mempengaruhi mentaliti masyarakat Siam Kelantan bahawa phra Kedah mungkir janji.

Luka di Wat Chetawan tidak terhenti di situ. Lukanya berterusan sehingga Phra Sri Prom ditetak oleh Ai Bau. Aku bertanya kepada Ai Bau apabila melihat dia mengasah parang, katanya hendak menebas semak. Rupa-rupanya dia tebas kepala Sri Prom. Ai Bau beritahu selang beberapa tahun dia pergi mencari Sri Prom. Sri Prom terkejut besar sebaik Ai Bau memperkenalkan dirinya. Ai Bau datang untuk minta maaf.

Hubungan "panas" antara phra Kedah - Kelantan juga hangat di Pulau Pinang. Terbaru ialah Wat Buppharam. Perebutan wat boleh meninggalkan kesan yang tidak baik di dalam masyarakat Siam, terutamanya yang melibatkan phra Kedah dan phra Kelantan. Isu Wat thai Chetawan mungkin tidak begitu dirasai pahitnya oleh orang Siam Kedah tetapi bagi orang Siam Kelantan ia sesuatu yang sukar dilupakan.

Sekiranya perhubungan antara phra Kedah-Kelantan dipenuhi liku dan lekuk, perhubungan masyarakat Siam Kedah - Kelantan juga tidak setenteram disangka. Persatuan siam Malaysia dan Jawatan Senator merupakan pencetus utama. Walaupun perkara ini tidak dilisankan, tetapi perasaan orang Siam Kelantan terhadap Siam Pantai Barat mula berubah. Siam Kelantan berpendapat bahawa Siam Pantai Barat, melalui PSM tidak boleh dipercayai dan cuba mempermainkan mereka. Bagi mereka "berpecah" tetapi selesa lebih baik daripada "bersatu" tetapi sakit.

Sakitnya lebih berbisa apabila ada "suara-suara" yang mempersoalkan hak Siam Kelantan ke atas jawatan Senator. Jawatan Senator Siam dituntut oleh Siam Kedah, dan diberikan kepada Siam Kedah sebagai Senator pertama, oleh itu "hanya" orang Siam Kedah yang layak. (Siam Perlis yang mendapat jawatan Senator kerana campur tangan kuasa tertinggi) Jadi, lupakan sahaja Siam Kelantan dan Siam negeri lain tentang Senator. "Suara-suara" ini kurang menyenangkan telinga calon Senator dari luar Kedah. Persoalannya adakah kita, masyarakat Siam mahu membahagikan blok Siam kepada "Siam Kedah" dan "bukan Siam Kedah" seperti blok "Melayu" dan "bukan Melayu"?

Membahagikan Siam kepada dua blok tidak menguntungkan sesiapa malahan merugikan. Membangkitkan isu kenegerian bukan sesuatu yang baik. Perbuatan yang tidak jujur akan dibalas dengan tidak jujur juga. Oleh itu, kita harus berfikir atas landasan "semua Siam" tanpa membahagikan sempadan Geografi atau negeri. Sejarah perhubungan Siam Kedah-Kelantan bermula lama sudah, kenapa harus kita racuni dengan perkara remeh-temeh seperti isu wat dan Senator?

Berfikirlah semasak-masaknya kerana kini "perang" baru berdetik dan masih boleh dihentikan. Sekiranya "perang" merebak, aku yakin yang rugi adalah kaum kita seluruhnya. Sejarah hitam harus diputihkan bukannya ditambahkan hitamnya!

No comments:

Post a Comment